Tuesday 2 April 2013

TUGASAN C-RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN


Tugasan B



Tugasan B (Membina Resos)

Bagi tugasan ini, kami telah memilih untuk membina papan perpuluhan sebagai bahan bantu belajar bagi Rancangan Pengajaran Harian (RPH) kami. RPH kami adalah mengenai operasi penolakan dalam perpuluhan.
         Papan perpuluhan ini yang bersifat maujud atau konkrit bersesuaian dengan tahap kognitif murid sekolah rendah tahun 5. Hal ini bertepatan dengan teori perkembangan kognitif Jean Piaget yang mengatakan kanak – kanak yang berusia antara 7 hingga 12 tahun adalah peringkat operasi konkrit.
 Papan perpuluhan ini berfungsi sebagai medium bagi menunjukkan cara bagaimana operasi penolakan dalam perpuluhan dilakukan. Guru perlu menerangkan satu persatu langkah penolakan tersebut. Penolakan perlu dilakukan dari kanan ke kiri. Sebagai contoh:



          Penolakan akan dimulakan dari hujung sebelah kanan iaitu ‘9’ mewakili rumah perseribu. Seterusnya nombor ‘8’ mewakili rumah perseratus sehinggalah ke nombor ‘8’ mewakili rumah puluh. Guru perlu menegaskan bahawa kedudukan titik perpuluhan adalah selari dan ia diletakkan selepas membuat membuat operasi penolakan. Penolakan dalam perpuluhan sebenarnya seolah – olah  operasi penolakan nombor bulat seperti biasa, cuma yang membezakannya ialah titik perpuluhan.
        
Cara penggunaan papan perpuluhan ini ialah murid akan datang ke hadapan bilik darjah dan memecahkan belon. Belon tersebut mengandungi soalan penolakan perpuluhan. Setelah mengambil soalan tersebut, murid mencari kad nombor di tempat yang di sediakan dan menampal kad tersebut pada papan perpuluhan menggunakan tanah liat yang diberikan oleh guru. 
         Setelah menyusun kesemua nombor mengikut soalan yang dinyatakan, murid membuat penolakan nombor perpuluhan tersebut seperti biasa. Di sini guru bertindak sebagai fasilitator iaitu membimbing murid menggunakan papan perpuluhan tersebut.    

Tugasan A



Tugasan A: Esei Mengenai Bahan Bantu Belajar


Pengenalan 

Cabaran ke 6 wawasan 2020 yang berbunyi mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan dasar pandang ke hadapan yang bukan sahaja menjadi penggunaan teknologi, tetapi juga penyambung kepada tamadun saintifik dan teknologi masa hadapan. Ini besesuaian dengan harapan untuk membina negara yang maju dan rakyat yang berketrampilan dalam pelbagai bidang. Oleh itu penguasaan matematik menjadi tunjang ke arah matlamat tersebut. Ia juga penting dalam melahirkan generasi yang mampu menguasai bidang sains dan teknologi yang akan membawa negara menuju ke era globalisasi. Kemahiran dalam mata pelajaran ini membolehkan seseorang menceburi pelbagai bidang seperti ekonomi, kejuruteraan, perniagaan, sains komputer dan teknologi.

Memang tidak dinafikan lagi bahawa pengetahuan matematik amat berguna dalam kehidupan seharian. Tidak kira siapa pun diri kita, baik suri rumah, nelayan, arkitek lebih-lebih lagi sebagai pelajar.Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab para pendidik dan pelajar sendiri untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran matematik di sekolah berjaya. Namun begitu pada masa kini, kita dapati masih ramai murid yang tidak seronok atau berminat untuk mempelajari mata pelajaran matematik walaupun pelbagai bahan bantu belajar(BBB) telah digunakan dengan sepenuhnya oleh guru. Mereka akan cuba mengelakkan diri dari menghadiri kelas-kelas matematik. Adalah menjadi matlamat dan kehendak Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) untuk membentuk dan melahirkan murid yang aktif, kreatif, inisiatif, inovatif dan berilmu pengetahuan. Oleh itu selain penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran, aktiviti-aktiviti yang boleh menambahkan kemahiran pelajar adalah satu perkara yang tidak boleh dinafikan kepentingannya. Penggunaan Bahan bantu belajar(BBB) dalam pengajaran dan pembelajaran adalah satu alternatif dalam usaha menjayakan agenda tersebut. Guru seharusnya kreatif dalam pengajaran mereka supaya dapat menarik minat pelajar terhadap proses pembelajaran. Peranan guru adalah penting untuk mewujudkan kreativiti di dalam bilik darjah. Leonard M.S et al (1996, m.s. 47) telah menyatakan bahawa;
“ kreativiti di dalam bilik darjah boleh dan seharusnya memimpin murid-murid supaya lebih berminat dan mengambil bahagian dalam pengalaman dan pengajaran. Di antara hasil-hasil yang boleh dari persekitaran kreatif dalam bilik darjah ialah:
-Pertambahan minat murid-murid dalam mata pelajaran yang diajar.
-Murid-murid boleh mempelajari cara bekerjasama antara satu sama lain.
-Murid-murid akan mengembangkan keyakinan diri dalam pembelajaran dan anda sebagai seorang guru akan menyukai kerja anda.”


Berdasarkan apa yang dinyatakan itu, maka sudah tentulah amat penting sekali bagi guru-guru matematik untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kreatif serta sesi pengajaran yang menarik. Ini akan menarik minat murid untuk terus belajar dengan penuh keyakinan.

Fungsi utama Bahan bantu belajar(BBB) adalah bagi memudahkan para pelajar memahami isi pengajaran. Bahan bantu belajar(BBB) yang berkesan haruslah dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru yang mempunyai daya kreativiti, bijak memilih bahan yang sesuai dan kaedah pengajaran yang terbaik agar ianya berkesan. Walaupun pada masa-masa tertentu pelajar-pelajar memahami pengajaran guru, namun keperluan kepada Bahan bantu belajar(BBB) adalah penting tidak kira sama ada bahan yang digunakan bahan elektronik atau bukan elektronik.

Antara perkara penting yang perlu diperhatikan ialah sejauh manakah alat berkenaan
dapat memberi manfaat kepada guru dan pelajar-pelajar. Keberkesanan Bahan Bantu Mengajar bukan sahaja ditentukan oleh kualitinya tetapi juga oleh teknik penggunaannya dalam situasi bilik darjah (Rashidi Azizan et.al, 1996, m.s 145).

Antara jenis-jenis BBM itu boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
1. Peralatan elektronik seperti komputer, televisyen, radio dan sebarang alat audio video.
2. Peralatan bukan elektronik seperti peta, carta, surat khabar, bahan manipulatif, tangram, papan paku, bongkah kayu dan sebagainya. Penggunaan Bahan bantu belajar(BBB) dapat mengatasi masalah seperti disiplin pelajar, kekurangan masa, kawalan kelas, dan kurang minat pelajar terhadap pengajaran guru. Bahan bantu belajar(BBB) bukan sahaja dapat meningkatkan rasa ingin tahu di kalangan pelajar, bahkan dapat menambahkan variasi kepada teknik pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah, pelbagai Bahan bantu belajar(BBB) digunakan sebagai satu cara untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yangmenarik dan berkesan (Yusup Hashim, 1997, m.s 16). Mok Soon Sang (1996, m.s 58),
pula mengatakan bahawa penggunaan Bahan bantu belajar(BBB) dalam proses pengajaran adalah amat penting. Ini kerana ia dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan mudah, cepat serta menarik. Bahan bantu belajar(BBB) yang disediakan mestilah bersesuaian dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Manakala isi kandungan haruslah tepat dan berkait rapat dengan topik yang hendak diajar. Pada amnya,cara menggunakan Bahan bantu belajar(BBB) hendaklah diuruskan dengan betul dan cekap supaya pelajar dapat memahami dan mengekalkan konsep atau fakta matematik dalam ingatan mereka (Musa Daia, 1992, m.s 72).

Selain sebagai bahan tambahan kepada penyampaian pengajaran secara lisan boleh guru,penggunaan Bahan bantu belajar(BBB) sebenarnya turut memberi peluang kepada pelajar memperolehi pengetahuan melalui penggunaan pelbagai deria, iaitu deria penglihatan, deria sentuh, dan deria pendengaran (Mok Soon Sang, 1996, m.s.162).

Senarai Bahan bantu belajar(BBB) yang dapat digunakan oleh guru matematik tidak terbatas. Ia hanya terhad oleh inisiatif dan kreativiti guru. Bahan bantu belajar(BBB) matematik atau bahan manipulatif yang biasa digunakan dalam pembelajaran matematik termasuklah:
a. Bahan-bahan pembilang seperti manik-manik berwarna, blok-blok kayu pelbagai
    bentuk, penyedut minuman, butang, kayu aiskrim dan sebagainya.
b. Bahan berbentuk kertas seperti kad, carta, kertas graf dan sebarang kertas.
c. Alat-alat pengukuran seperti cawan mainan, tin dan botol.
d. Alat permainan dan teka teki matematik.
e. Alat elektronik seperti computer, kalkulator dan internet
f. Model-model pertalian geometri seperti papan paku atau geoboard, tangram,
   model geometri kayu ataupun plastik.

Minat Pelajar Terhadap Matematik

Minat boleh menentukan kecemerlangan atau kemunduran seseorang pelajar di dalam matematik (“Minat tentukan", 2002, m.s. 1). Akibat tidak berminat terhadap matematik, sudah tentulah murid tersebut tidak akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru di dalam kelas. Mereka juga tidak akan menyiapkan kerja atau latihan yang diberi oleh guru untuk disiapkan sama ada di dalam kelas mahu pun di rumah dan sebagainya.

Dalam kajian yang dilakukan oleh pensyarah matematik Baharudin Omar, Kamarulzaman Kamaruddin dan Nordin Mamat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (tahun tidak dinyatakan, dalam Norazila Ariff & Norazlina Yusop, 2003, m.s. 12) , menunjukkan kurangnya minat pelajar terhadap mata pelajaran matematik adalah berpunca daripada anggapan mereka yang mengatakan bahawa matematik itu susah. Persepsi negatif ini menyebabkan mereka tidak memberi peluang kepada diri untuk menerima mata pelajaran itu sebagai suatu yang mudah untuk difahami.
 Adnan Khamis (1986, m.s. 22) juga menyokong kenyataan ini. Kajiannya menunjukkan bahawa pelajar tidak suka belajar matematik kerana matematik merupakan satu mata pelajaran yang sukar dan membosankan. Bagi mengatasi masalah ini, pelajar mempelajari matematik secara hafalan. Akibatnya, ramai pelajar hilang minat untuk belajar matematik. Kesannya pencapaian terhadap matematik kurang memuaskan.
Sementara itu, Crow dan Crow (1986, dalam Ismail Abd. Hamid, 1999,  m.s.18) pula menyatakan minat sebagai punca kepada sesuatu kegiatan dan hasil dari penyertaan dalam kegiatan itu. Oleh itu minat yang sedia ada pada seseorang disertai dengan motivasi, akan meningkatkan daya usahanya untuk mempertingkatkan lagi minat dalam sesuatu perkara.

Pendapat ini disokong oleh Russel (1968, dalam Norazila Ariff & Norazlina Yusop, 2003, m.s. 11) yang mengatakan bahawa minat berkembang daripada aktiviti yang memuaskan dan mereka berkecenderungan untuk merangsang daripada aktivitiaktiviti seterusnya. Pembelajaran boleh diperolehi daripada pengalaman dan ini adalah dipengaruhi secara terus oleh minat seseorang di dalam proses ini. Minat yang bersungguh-sungguh dipercayai boleh memampasi kekurangan beberapa poin di dalam kecerdasan. Perkara ini boleh dipertingkatkan dengan penyertaan dan dorongan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan di dalam proses pembelajaran.

Kajian yang dijalankan oleh Dungan dan Thurlow (1989, dalam Ismail Abd. Hamid, 1999, .s. 21) mendapati bahawa ada beberapa faktor yang menyebabkan pelajar meminati mata pelajaran matematik iaitu apabila mereka memahami mata pelajaran itu, apabila mereka mendapat markah yang tinggi atau pengalaman berjaya menyelesaikan masalah dalam matematik, apabila mereka meminati guru yang mengajar matematik dan apabila terdapat topik atau aktiviti yang baru, pelbagai, menarik dan menyeronokkan. Sementara itu, dalam satu kajian yang dijalankan oleh Adnan Khamis (1986, m.s. 43) pula berpendapat bahawa minat seseorang memainkan peranan yang penting dalam mempelajari matematik. Menurut beliau, matematik merupakan satu mata pelajaran yang kompleks dan berturutan dari mudah kepada sukar. Pelajar perlu memberi tumpuan sepenuhnya dan berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya konsep yang diajar dapat difahami dan digunakan dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan. Biasanya pelajar yang memperolehi markah yang baik adalah mereka yang memberikan tumpuan sepenuhnya dalam kelas dan berminat dalam mata pelajaran ini.

Kegagalan pelajar membuktikan bahawa penguasaan mereka lemah dan kurang meminati subjek tersebut. Menurut George (1990, dalam Ismail Abd. Hamid, 1999, m.s. 23) minat yang tinggi dalam matematik memainkan peranan penting terhadap pencapaian pelajar dalam matematik. Dapatan kajiannya menunjukkan 72% pelajar menunjukkan minat yang sangat sedikit dalam matematik dan dengan itu kebolehan mereka dalam matematik sangat mengecewakan. Apabila pelajar hilang minat terhadap matematik, mereka mungkin secara automatik hilang kekuatan untuk menyelesaikan masalah yang diberi. Kekurangan minat akan mengarah kepada kegagalan.

Tang Ching Tong (1992) menjalankan satu kajian yang bertujuan untuk melihat sejauh mana hubungan minat terhadap pencapaian dalam matematik. Beliau menggunakan 80 orang pelajar tingkatan 4. Hasil yang diperolehi pelajar jurusan sains lebih berminat terhadap matematik berbanding pelajar jurusan sastera. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar yang minat terhadap matematik akan memperolehi pencapaian yang tinggi. Beliau juga menyatakan, minat adalah salah satu faktor yang mempengaruhi pencapaian kerana terdapat hubungan positif antara minat terhadap matematik moden dengan pencapaian dalam matematik.


Hubungan Minat Dengan Bahan bantu belajar

Secara amnya, pelajar merasakan bahawa pengajaran guru lebih menarik jika guru itu menggunakan Bahan bantu belajar. Melalui penggunaan Bahan bantu belajar,seseorang guru itu lebih bersedia dan lebih kreatif untuk menyampaikan pelajarannya dengan baik (Kamal et.al, 1987, m.s. 227). Dale (1963, m.s. 218 ), telah menyatakan tujuh nilai penting tentang penggunaan bahan bantu belajar :
1.    merangsang minat yang tinggi di kalangan pelajar dan minat satu faktor yang
penting dalam pembelajaran mereka.
2.    Menyediakan satu dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak
pemikiran dan oleh itu mengurangkan berbagai-bagai gerak balas lisan daripada pelajarnya.
3.    Membekalkan satu dasar untuk perkembangan pembelajaran murid-murid dan
oleh itu menjadikan pembelajaran mereka lebih kekal.
4.    Menyediakan pengalaman yang tidak dapat diperolehi dengan mudahnya melalui
cara lain dan menolong menjadikan pembelajaran pelajar-pelajar lebih mendalam dan pelbagai.
5.Menolong dalam kefahaman, oleh itu mempercepatkan perkembangan    perbendaharaan kata.
6. Menawarkan pengalaman yang sebenar dan dengan demikian merangsangkan kegiatan seorang pelajar.
7. mendorong pelajar untuk menyiasat dan dengan demikianmenambahkan bacaan sukarela.

Para pendidik perlu berubah daripada cara pengajaran tradisional yang masih diamalkan oleh sesetengah guru dalam aspek pengajaran pembelajaran perlu dikaji semula dan diubahsuai jika perlu. Semua jenis pembelajaran dan pengalaman yang diperolehi adalah melalui deria.

Menurut Kamaruddin (1986, m.s.214), Bahan bantu belajar merupakan segala kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di bilik darjah. Alatan mengajar ini tidak terhad kepada buku-buku teks,papan tulis dan gambar-gambar sahaja tetapi juga merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran dan sebagainya.
           
Hasil dari kajian Mohd Sharif Abdul Manaf (1994, dalam Omar Drahman, 1997 m.s. 18), mendapati penggunaan media dalam pengajaran dan pembelajaran dapat menimbulkan kesan positif seperti;
1. Proses pengajaran menjadi lebih baik dengan penggunaan media
pengajaran.
2. Pembelajaran berkesan dalam masa yang singkat.
3. Membantu mencapai objektif pengajaran.
4. Pelajar lebih berminat dengan pengajaran dan pengajar.

Ini diikuti dengan kajian Naim Ahmad (1989, m.s. 64), merumuskan hasil kajiannya tentang keberkesanan media pengajaran kepada pengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
a. Media pengajaran dapat membantu meningkatkan keupayaan ingatan semasa menyampaikan pelajaran.
b. Dapat membantu pengajar mengubah teknik dan kaedah pengajaran.
c. Dapat menjelaskan konsep pelajaran dengan berkesan.
d. Mempelbagaikan media pengajaran boleh menimbulkan minat yang berterusan kepada pelajar.
e. Menjimatkan masa pengajar.
f. Media pengajaran mendorong daya kreativiti pengajar dengan pelajar.

Mengikut kajian yang telah dilakukan oleh Rulon dan Arnspinger (1983, dalam Mohamad Lebai Ishak, 1998, m.s. 20), mendapati bahawa penggunaan Bahan Bantu Belajar boleh merangsangkan pemikiran dan pemahaman serta lebih banyak isi pelajaran yang boleh diterima oleh seorang pelajar.

Ciri-ciri Bahan bantu belajar
Proses untuk menyediakan atau memilih Bahan bantu belajar yang bersesuaian tidak sepatutnya diabaikan. Ini bagi memastikan segala Bahan bantu belajar yang digunakan oleh guru mahupun pelajar mesti membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.

Sebagai panduan am, Abdul Rahim ( 1989, dalam Zaiton Zainal, 1991, m.s. 12), telah menyenaraikan beberapa ciri penting dalam membuat pemilihan media pengajaran. Menurut beliau kesesuaian dari segi tajuk, bahasa, kandungan dan pengalaman pelajar itu sendiri adalah penting. Begitu juga fakta yang dikemukakan haruslah kemas kini, tepat, tidak berat sebelah dan logik. Teknik seperti bunyi yang jelas, saiz penglihatan dan warna harus juga diambil kira. Beliau turut menekankan ciri fizikal seperti selamat digunakan, mudah digunakan dan disimpan,tahan lasak, ringkas dan sentiasa kemas kini. Bahan-bahan ini adalah lebih baik jika boleh dikaitkan dengan mata pelajaran lain. Kesemua aspek ini amat berguna kepada guru-guru kerana beliau banyak menekankan cara pemilihan yang tepat.

Kepentingan ciri Bahan bantu belajar ini juga dijelaskan oleh Razali (1990, dalam Zaiton Zainal, 1991, m.s.15) mengariskan beberapa kriteria pemilihan bahan seperti berikut:
1. Tepat dengan tajuk
2. Tahan lama dan ekonomi
3. Saiz yang mudah dilihat serta menarik perhatian pelajar
4. Mudah disimpan
5. Kepelbagaian penggunaan.

Kajian berkaitan penggunaan warna di dalam penyediaan Bahan Bantu Belajar juga telah dijalankan oleh Barry ( 1976, dalam Suzita Mohd Resad, 2002, m.s. 21). Kajian Barry ialah tentang keberkesanan arahan dan gambar berwarna yang realistik dan bukan realistik. Di mana dalam kajian ini, beliau telah menguji dua teori yang berlainan tentang kepentingan warna dalam pembelajaran dengan alat pandang. Hasil kajian beliau mendapati warna memberi suatu demensi untuk pemahaman yang lebih, iaitu pelajar dapat sesuatu gambaran yang lebih tepat akan sesuatu bahan atau perkara dan menyenangkan lagi penyimpanan maklumat. Manakala Fungsi warna pula adalah sebagai kod yang menyenangkan ingatan dan mengingat kembali sesuatu imej.
Seterusnya, Noraziah (1981, dalam Zaiton Zainal, 1991, m.s. 13 ) memberi beberapa ciri pemilihan bahan yang boleh diambil kira oleh seseorang guru iaitu bahan tersebut tidak semestinya mahal, boleh dibuat oleh guru sahaja atau bersama pelajar dengan bimbingan guru. Bahan itu perlulah sederhana dan mudah didapati, boleh digunakan lebih dari satu mata pelajaran. Ia juga mudah di bawa, ringan dan mudah diganti, mudah disimpan dan tidak merbahaya.

Jenis-jenis Bahan bantu belajar

Kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan komputer dapat meningkatkan motivasi dan minat pelajar untuk belajar. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Jonassen (1996, dalam Lim Chap Sam dan Fatimah Salleh, 2003, m.s. 75), para pelajarnya yang mendapat bahan pengajaran melalui komputer mempunyai motivasi yang tinggi untuk belajar. Terdapat banyak perisian pendidikan matematik yang mempunyai unsur-unsur multimedia interaktif. Unsur-unsur tersebut seperti teks, bunyi dan gambar bertujuan membolehkan pengguna berinteraksi dengan komputer serta menerima maklum balas daripadanya.
Bahan Bantu Belajar boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang berasaskan teknologi ICT dan tidak menggunakan teknologi ICT. Contoh bahan bantu belajar yang berasaskan Ict ialah blog, forum, e-buku dan sebagainya dan bahan yang tidak berasaskan ICT pula ialah bahan 2D dan 3D.
Secara kesimpulannya, Bahan Bantu Belajar banyak membantu guru dan murid dalam memudahkan sesi p&p dan membantu memahami sesuatu pembelajaran. Selain itu, BBB ini sangat berguna kerana ianya memberikan gambaran yang jelas kepada murid terutamanya bahan maujuk. Murid akan dapat merasai, melihat dan menyentuh bahan tersebut dan membuatkan mereka memahami pengajaran guru dengan lebih baik.