MTE 3109-MENGAJAR NOMBOR, PECAHAN, PERPULUHAN & PERATUS
Tuesday 2 April 2013
Tugasan B
Tugasan B (Membina Resos)
Bagi tugasan ini, kami telah memilih untuk membina papan
perpuluhan sebagai bahan bantu belajar bagi Rancangan Pengajaran Harian (RPH)
kami. RPH kami adalah mengenai operasi penolakan dalam perpuluhan.
Papan
perpuluhan ini yang bersifat maujud atau konkrit bersesuaian dengan tahap
kognitif murid sekolah rendah tahun 5. Hal ini bertepatan dengan teori
perkembangan kognitif Jean Piaget yang mengatakan kanak – kanak yang berusia
antara 7 hingga 12 tahun adalah peringkat operasi konkrit.
Papan perpuluhan
ini berfungsi sebagai medium bagi menunjukkan cara bagaimana operasi penolakan
dalam perpuluhan dilakukan. Guru perlu menerangkan satu persatu langkah
penolakan tersebut. Penolakan perlu dilakukan dari kanan ke kiri. Sebagai
contoh:
Penolakan
akan dimulakan dari hujung sebelah kanan iaitu ‘9’ mewakili rumah perseribu.
Seterusnya nombor ‘8’ mewakili rumah perseratus sehinggalah ke nombor ‘8’
mewakili rumah puluh. Guru perlu menegaskan bahawa kedudukan titik perpuluhan
adalah selari dan ia diletakkan selepas membuat membuat operasi penolakan.
Penolakan dalam perpuluhan sebenarnya seolah – olah operasi penolakan nombor bulat seperti biasa,
cuma yang membezakannya ialah titik perpuluhan.
Cara penggunaan papan perpuluhan ini ialah
murid akan datang ke hadapan bilik darjah dan memecahkan belon. Belon tersebut
mengandungi soalan penolakan perpuluhan. Setelah mengambil soalan tersebut,
murid mencari kad nombor di tempat yang di sediakan dan menampal kad tersebut
pada papan perpuluhan menggunakan tanah liat yang diberikan oleh guru.
Setelah
menyusun kesemua nombor mengikut soalan yang dinyatakan, murid membuat
penolakan nombor perpuluhan tersebut seperti biasa. Di sini guru bertindak
sebagai fasilitator iaitu membimbing murid menggunakan papan perpuluhan
tersebut.
Tugasan A
Tugasan A: Esei Mengenai Bahan Bantu Belajar
Pengenalan
Cabaran ke 6 wawasan 2020 yang
berbunyi mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang
mempunyai daya perubahan tinggi dan dasar pandang ke hadapan yang bukan sahaja
menjadi penggunaan teknologi, tetapi juga penyambung kepada tamadun saintifik
dan teknologi masa hadapan. Ini besesuaian dengan harapan untuk membina negara
yang maju dan rakyat yang berketrampilan dalam pelbagai bidang. Oleh itu
penguasaan matematik menjadi tunjang ke arah matlamat tersebut. Ia juga penting
dalam melahirkan generasi yang mampu menguasai bidang sains dan teknologi yang
akan membawa negara menuju ke era globalisasi. Kemahiran dalam mata pelajaran
ini membolehkan seseorang menceburi pelbagai bidang seperti ekonomi,
kejuruteraan, perniagaan, sains komputer dan teknologi.
Memang
tidak dinafikan lagi bahawa pengetahuan matematik amat berguna dalam kehidupan
seharian. Tidak kira siapa pun diri kita, baik suri rumah, nelayan, arkitek
lebih-lebih lagi sebagai pelajar.Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab para
pendidik dan pelajar sendiri untuk memastikan proses pengajaran dan
pembelajaran matematik di sekolah berjaya. Namun begitu pada masa kini, kita
dapati masih ramai murid yang tidak seronok atau berminat untuk mempelajari
mata pelajaran matematik walaupun pelbagai bahan bantu belajar(BBB) telah
digunakan dengan sepenuhnya oleh guru. Mereka akan cuba mengelakkan diri dari
menghadiri kelas-kelas matematik. Adalah menjadi matlamat dan kehendak
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) untuk membentuk dan melahirkan murid yang
aktif, kreatif, inisiatif, inovatif dan berilmu pengetahuan. Oleh itu selain
penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran, aktiviti-aktiviti yang
boleh menambahkan kemahiran pelajar adalah satu perkara yang tidak boleh dinafikan
kepentingannya. Penggunaan Bahan bantu belajar(BBB) dalam pengajaran dan
pembelajaran adalah satu alternatif dalam usaha menjayakan agenda tersebut.
Guru seharusnya kreatif dalam pengajaran mereka supaya dapat menarik minat
pelajar terhadap proses pembelajaran. Peranan guru adalah penting untuk
mewujudkan kreativiti di dalam bilik darjah. Leonard M.S et al (1996, m.s. 47)
telah menyatakan bahawa;
“
kreativiti di dalam bilik darjah boleh dan seharusnya memimpin murid-murid
supaya lebih berminat dan mengambil bahagian dalam pengalaman dan pengajaran.
Di antara hasil-hasil yang boleh dari persekitaran kreatif dalam bilik darjah
ialah:
-Pertambahan
minat murid-murid dalam mata pelajaran yang diajar.
-Murid-murid
boleh mempelajari cara bekerjasama antara satu sama lain.
-Murid-murid
akan mengembangkan keyakinan diri dalam pembelajaran dan anda sebagai seorang
guru akan menyukai kerja anda.”
Berdasarkan
apa yang dinyatakan itu, maka sudah tentulah amat penting sekali bagi guru-guru
matematik untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kreatif serta sesi
pengajaran yang menarik. Ini akan menarik minat murid untuk terus belajar
dengan penuh keyakinan.
Fungsi
utama Bahan bantu belajar(BBB) adalah bagi memudahkan para pelajar memahami isi
pengajaran. Bahan bantu belajar(BBB) yang berkesan haruslah dapat membantu
proses pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru yang mempunyai daya kreativiti,
bijak memilih bahan yang sesuai dan kaedah pengajaran yang terbaik agar ianya
berkesan. Walaupun pada masa-masa tertentu pelajar-pelajar memahami pengajaran
guru, namun keperluan kepada Bahan bantu belajar(BBB) adalah penting tidak kira
sama ada bahan yang digunakan bahan elektronik atau bukan elektronik.
Antara
perkara penting yang perlu diperhatikan ialah sejauh manakah alat berkenaan
dapat memberi manfaat kepada guru dan
pelajar-pelajar. Keberkesanan Bahan Bantu Mengajar bukan sahaja ditentukan oleh
kualitinya tetapi juga oleh teknik penggunaannya dalam situasi bilik darjah
(Rashidi Azizan et.al, 1996, m.s 145).
Antara jenis-jenis BBM itu boleh
dibahagikan kepada dua iaitu:
1.
Peralatan elektronik seperti komputer, televisyen, radio dan sebarang alat audio
video.
2.
Peralatan bukan elektronik seperti peta, carta, surat khabar, bahan manipulatif,
tangram, papan paku, bongkah kayu dan sebagainya. Penggunaan Bahan bantu
belajar(BBB) dapat mengatasi masalah seperti disiplin pelajar, kekurangan masa,
kawalan kelas, dan kurang minat pelajar terhadap pengajaran guru. Bahan bantu
belajar(BBB) bukan sahaja dapat meningkatkan rasa ingin tahu di kalangan
pelajar, bahkan dapat menambahkan variasi kepada teknik pengajaran dan
pembelajaran dalam kelas.
Dalam
Kurikulum Baru Sekolah Rendah, pelbagai Bahan bantu belajar(BBB) digunakan
sebagai satu cara untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yangmenarik
dan berkesan (Yusup Hashim, 1997, m.s 16). Mok Soon Sang (1996, m.s 58),
pula mengatakan bahawa penggunaan Bahan
bantu belajar(BBB) dalam proses pengajaran adalah amat penting. Ini kerana ia
dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan mudah, cepat serta menarik. Bahan
bantu belajar(BBB) yang disediakan mestilah bersesuaian dengan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Manakala isi kandungan haruslah tepat dan berkait
rapat dengan topik yang hendak diajar. Pada amnya,cara menggunakan Bahan bantu
belajar(BBB) hendaklah diuruskan dengan betul dan cekap supaya pelajar dapat
memahami dan mengekalkan konsep atau fakta matematik dalam ingatan mereka (Musa
Daia, 1992, m.s 72).
Selain
sebagai bahan tambahan kepada penyampaian pengajaran secara lisan boleh
guru,penggunaan Bahan bantu belajar(BBB) sebenarnya turut memberi peluang kepada
pelajar memperolehi pengetahuan melalui penggunaan pelbagai deria, iaitu deria
penglihatan, deria sentuh, dan deria pendengaran (Mok Soon Sang, 1996, m.s.162).
Senarai Bahan
bantu belajar(BBB) yang dapat digunakan oleh guru matematik tidak terbatas. Ia
hanya terhad oleh inisiatif dan kreativiti guru. Bahan bantu belajar(BBB) matematik
atau bahan manipulatif yang biasa digunakan dalam pembelajaran matematik termasuklah:
a.
Bahan-bahan pembilang seperti manik-manik berwarna, blok-blok kayu pelbagai
bentuk, penyedut minuman, butang, kayu
aiskrim dan sebagainya.
b.
Bahan berbentuk kertas seperti kad, carta, kertas graf dan sebarang kertas.
c.
Alat-alat pengukuran seperti cawan mainan, tin dan botol.
d.
Alat permainan dan teka teki matematik.
e.
Alat elektronik seperti computer, kalkulator dan internet
f.
Model-model pertalian geometri seperti papan paku atau geoboard, tangram,
model geometri kayu ataupun plastik.
Minat Pelajar Terhadap
Matematik
Minat boleh
menentukan kecemerlangan atau kemunduran seseorang pelajar di dalam matematik
(“Minat tentukan", 2002, m.s. 1). Akibat tidak berminat terhadap
matematik, sudah tentulah murid tersebut tidak akan memberikan tumpuan yang
sepenuhnya terhadap pengajaran guru di dalam kelas. Mereka juga tidak akan
menyiapkan kerja atau latihan yang diberi oleh guru untuk disiapkan sama ada di
dalam kelas mahu pun di rumah dan sebagainya.
Dalam
kajian yang dilakukan oleh pensyarah matematik Baharudin Omar, Kamarulzaman
Kamaruddin dan Nordin Mamat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (tahun
tidak dinyatakan, dalam Norazila Ariff & Norazlina Yusop, 2003, m.s. 12) ,
menunjukkan kurangnya minat pelajar terhadap mata pelajaran matematik adalah
berpunca daripada anggapan mereka yang mengatakan bahawa matematik itu susah.
Persepsi negatif ini menyebabkan mereka tidak memberi peluang kepada diri untuk
menerima mata pelajaran itu sebagai suatu yang mudah untuk difahami.
Adnan Khamis (1986, m.s. 22) juga menyokong
kenyataan ini. Kajiannya menunjukkan bahawa pelajar tidak suka belajar
matematik kerana matematik merupakan satu mata pelajaran yang sukar dan
membosankan. Bagi mengatasi masalah ini, pelajar mempelajari matematik secara
hafalan. Akibatnya, ramai pelajar hilang minat untuk belajar matematik.
Kesannya pencapaian terhadap matematik kurang memuaskan.
Sementara
itu, Crow dan Crow (1986, dalam Ismail Abd. Hamid, 1999, m.s.18) pula menyatakan minat sebagai punca
kepada sesuatu kegiatan dan hasil dari penyertaan dalam kegiatan itu. Oleh itu
minat yang sedia ada pada seseorang disertai dengan motivasi, akan meningkatkan
daya usahanya untuk mempertingkatkan lagi minat dalam sesuatu perkara.
Pendapat
ini disokong oleh Russel (1968, dalam Norazila Ariff & Norazlina Yusop,
2003, m.s. 11) yang mengatakan bahawa minat berkembang daripada aktiviti yang
memuaskan dan mereka berkecenderungan untuk merangsang daripada
aktivitiaktiviti seterusnya. Pembelajaran boleh diperolehi daripada pengalaman
dan ini adalah dipengaruhi secara terus oleh minat seseorang di dalam proses
ini. Minat yang bersungguh-sungguh dipercayai boleh memampasi kekurangan
beberapa poin di dalam kecerdasan. Perkara ini boleh dipertingkatkan dengan
penyertaan dan dorongan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan di dalam proses
pembelajaran.
Kajian yang
dijalankan oleh Dungan dan Thurlow (1989, dalam Ismail Abd. Hamid, 1999, .s.
21) mendapati bahawa ada beberapa faktor yang menyebabkan pelajar meminati mata
pelajaran matematik iaitu apabila mereka memahami mata pelajaran itu, apabila
mereka mendapat markah yang tinggi atau pengalaman berjaya menyelesaikan
masalah dalam matematik, apabila mereka meminati guru yang mengajar matematik
dan apabila terdapat topik atau aktiviti yang baru, pelbagai, menarik dan
menyeronokkan. Sementara itu, dalam satu kajian yang dijalankan oleh Adnan
Khamis (1986, m.s. 43) pula berpendapat bahawa minat seseorang memainkan
peranan yang penting dalam mempelajari matematik. Menurut beliau, matematik merupakan
satu mata pelajaran yang kompleks dan berturutan dari mudah kepada sukar.
Pelajar perlu memberi tumpuan sepenuhnya dan berusaha dengan bersungguh-sungguh
supaya konsep yang diajar dapat difahami dan digunakan dalam menyelesaikan
masalah yang berkaitan. Biasanya pelajar yang memperolehi markah yang baik
adalah mereka yang memberikan tumpuan sepenuhnya dalam kelas dan berminat dalam
mata pelajaran ini.
Kegagalan
pelajar membuktikan bahawa penguasaan mereka lemah dan kurang meminati subjek
tersebut. Menurut George (1990, dalam Ismail Abd. Hamid, 1999, m.s. 23) minat
yang tinggi dalam matematik memainkan peranan penting terhadap pencapaian
pelajar dalam matematik. Dapatan kajiannya menunjukkan 72% pelajar menunjukkan
minat yang sangat sedikit dalam matematik dan dengan itu kebolehan mereka dalam
matematik sangat mengecewakan. Apabila pelajar hilang minat terhadap matematik,
mereka mungkin secara automatik hilang kekuatan untuk menyelesaikan masalah
yang diberi. Kekurangan minat akan mengarah kepada kegagalan.
Tang Ching
Tong (1992) menjalankan satu kajian yang bertujuan untuk melihat sejauh mana
hubungan minat terhadap pencapaian dalam matematik. Beliau menggunakan 80 orang
pelajar tingkatan 4. Hasil yang diperolehi pelajar jurusan sains lebih berminat
terhadap matematik berbanding pelajar jurusan sastera. Dapatan kajian menunjukkan
bahawa pelajar yang minat terhadap matematik akan memperolehi pencapaian yang
tinggi. Beliau juga menyatakan, minat adalah salah satu faktor yang mempengaruhi
pencapaian kerana terdapat hubungan positif antara minat terhadap matematik
moden dengan pencapaian dalam matematik.
Hubungan Minat Dengan Bahan bantu
belajar
Secara
amnya, pelajar merasakan bahawa pengajaran guru lebih menarik jika guru itu menggunakan
Bahan bantu belajar. Melalui penggunaan Bahan bantu belajar,seseorang guru itu
lebih bersedia dan lebih kreatif untuk menyampaikan pelajarannya dengan baik
(Kamal et.al, 1987, m.s. 227). Dale (1963, m.s. 218 ), telah menyatakan tujuh
nilai penting tentang penggunaan bahan bantu belajar :
1.
merangsang
minat yang tinggi di kalangan pelajar dan minat satu faktor yang
penting dalam pembelajaran
mereka.
2.
Menyediakan
satu dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak
pemikiran dan oleh itu
mengurangkan berbagai-bagai gerak balas lisan daripada pelajarnya.
3.
Membekalkan
satu dasar untuk perkembangan pembelajaran murid-murid dan
oleh itu menjadikan
pembelajaran mereka lebih kekal.
4.
Menyediakan
pengalaman yang tidak dapat diperolehi dengan mudahnya melalui
cara lain dan menolong
menjadikan pembelajaran pelajar-pelajar lebih mendalam dan pelbagai.
5.Menolong
dalam kefahaman, oleh itu mempercepatkan perkembangan perbendaharaan kata.
6.
Menawarkan pengalaman yang sebenar dan dengan demikian merangsangkan kegiatan
seorang pelajar.
7.
mendorong pelajar untuk menyiasat dan dengan demikianmenambahkan bacaan
sukarela.
Para
pendidik perlu berubah daripada cara pengajaran tradisional yang masih diamalkan
oleh sesetengah guru dalam aspek pengajaran pembelajaran perlu dikaji semula
dan diubahsuai jika perlu. Semua jenis pembelajaran dan pengalaman yang diperolehi
adalah melalui deria.
Menurut
Kamaruddin (1986, m.s.214), Bahan bantu belajar merupakan segala kelengkapan
yang digunakan oleh guru untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di
bilik darjah. Alatan mengajar ini tidak terhad kepada buku-buku teks,papan
tulis dan gambar-gambar sahaja tetapi juga merangkumi segala benda yang digunakan
dalam pengajaran dan sebagainya.
Hasil dari
kajian Mohd Sharif Abdul Manaf (1994, dalam Omar Drahman, 1997 m.s. 18),
mendapati penggunaan media dalam pengajaran dan pembelajaran dapat menimbulkan
kesan positif seperti;
1.
Proses pengajaran menjadi lebih baik dengan penggunaan media
pengajaran.
2.
Pembelajaran berkesan dalam masa yang singkat.
3.
Membantu mencapai objektif pengajaran.
4.
Pelajar lebih berminat dengan pengajaran dan pengajar.
Ini diikuti
dengan kajian Naim Ahmad (1989, m.s. 64), merumuskan hasil kajiannya tentang
keberkesanan media pengajaran kepada pengajar dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.
a.
Media pengajaran dapat membantu meningkatkan keupayaan ingatan semasa
menyampaikan pelajaran.
b.
Dapat membantu pengajar mengubah teknik dan kaedah pengajaran.
c.
Dapat menjelaskan konsep pelajaran dengan berkesan.
d.
Mempelbagaikan media pengajaran boleh menimbulkan minat yang berterusan kepada
pelajar.
e.
Menjimatkan masa pengajar.
f.
Media pengajaran mendorong daya kreativiti pengajar dengan pelajar.
Mengikut kajian yang telah dilakukan
oleh Rulon dan Arnspinger (1983, dalam Mohamad Lebai Ishak, 1998, m.s. 20),
mendapati bahawa penggunaan Bahan Bantu Belajar boleh merangsangkan pemikiran
dan pemahaman serta lebih banyak isi pelajaran yang boleh diterima oleh seorang
pelajar.
Ciri-ciri Bahan bantu belajar
Proses untuk menyediakan atau memilih Bahan
bantu belajar yang bersesuaian tidak sepatutnya diabaikan. Ini bagi memastikan
segala Bahan bantu belajar yang digunakan oleh guru mahupun pelajar mesti
membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.
Sebagai
panduan am, Abdul Rahim ( 1989, dalam Zaiton Zainal, 1991, m.s. 12), telah
menyenaraikan beberapa ciri penting dalam membuat pemilihan media pengajaran.
Menurut beliau kesesuaian dari segi tajuk, bahasa, kandungan dan pengalaman
pelajar itu sendiri adalah penting. Begitu juga fakta yang dikemukakan haruslah
kemas kini, tepat, tidak berat sebelah dan logik. Teknik seperti bunyi yang jelas,
saiz penglihatan dan warna harus juga diambil kira. Beliau turut menekankan ciri
fizikal seperti selamat digunakan, mudah digunakan dan disimpan,tahan lasak, ringkas
dan sentiasa kemas kini. Bahan-bahan ini adalah lebih baik jika boleh dikaitkan
dengan mata pelajaran lain. Kesemua aspek ini amat berguna kepada guru-guru kerana
beliau banyak menekankan cara pemilihan yang tepat.
Kepentingan
ciri Bahan bantu belajar ini juga dijelaskan oleh Razali (1990, dalam Zaiton
Zainal, 1991, m.s.15) mengariskan beberapa kriteria pemilihan bahan seperti
berikut:
1.
Tepat dengan tajuk
2.
Tahan lama dan ekonomi
3.
Saiz yang mudah dilihat serta menarik perhatian pelajar
4.
Mudah disimpan
5.
Kepelbagaian penggunaan.
Kajian
berkaitan penggunaan warna di dalam penyediaan Bahan Bantu Belajar juga telah
dijalankan oleh Barry ( 1976, dalam Suzita Mohd Resad, 2002, m.s. 21). Kajian
Barry ialah tentang keberkesanan arahan dan gambar berwarna yang realistik dan
bukan realistik. Di mana dalam kajian ini, beliau telah menguji dua teori yang
berlainan tentang kepentingan warna dalam pembelajaran dengan alat pandang. Hasil
kajian beliau mendapati warna memberi suatu demensi untuk pemahaman yang lebih,
iaitu pelajar dapat sesuatu gambaran yang lebih tepat akan sesuatu bahan atau perkara
dan menyenangkan lagi penyimpanan maklumat. Manakala Fungsi warna pula adalah
sebagai kod yang menyenangkan ingatan dan mengingat kembali sesuatu imej.
Seterusnya,
Noraziah (1981, dalam Zaiton Zainal, 1991, m.s. 13 ) memberi beberapa ciri
pemilihan bahan yang boleh diambil kira oleh seseorang guru iaitu bahan
tersebut tidak semestinya mahal, boleh dibuat oleh guru sahaja atau bersama pelajar
dengan bimbingan guru. Bahan itu perlulah sederhana dan mudah didapati, boleh
digunakan lebih dari satu mata pelajaran. Ia juga mudah di bawa, ringan dan mudah
diganti, mudah disimpan dan tidak merbahaya.
Jenis-jenis Bahan bantu belajar
Kaedah
pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan komputer dapat meningkatkan
motivasi dan minat pelajar untuk belajar. Menurut kajian yang telah dijalankan
oleh Jonassen (1996, dalam Lim Chap Sam dan Fatimah Salleh, 2003, m.s. 75),
para pelajarnya yang mendapat bahan pengajaran melalui komputer mempunyai
motivasi yang tinggi untuk belajar. Terdapat banyak perisian pendidikan matematik
yang mempunyai unsur-unsur multimedia interaktif. Unsur-unsur tersebut seperti
teks, bunyi dan gambar bertujuan membolehkan pengguna berinteraksi dengan
komputer serta menerima maklum balas daripadanya.
Bahan Bantu
Belajar boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang berasaskan teknologi ICT
dan tidak menggunakan teknologi ICT. Contoh bahan bantu belajar yang berasaskan
Ict ialah blog, forum, e-buku dan sebagainya dan bahan yang tidak berasaskan
ICT pula ialah bahan 2D dan 3D.
Secara kesimpulannya,
Bahan Bantu Belajar banyak membantu guru dan murid dalam memudahkan sesi
p&p dan membantu memahami sesuatu pembelajaran. Selain itu, BBB ini sangat
berguna kerana ianya memberikan gambaran yang jelas kepada murid terutamanya
bahan maujuk. Murid akan dapat merasai, melihat dan menyentuh bahan tersebut
dan membuatkan mereka memahami pengajaran guru dengan lebih baik.
Subscribe to:
Posts (Atom)